Wednesday, August 15, 2012

Salam Aidilfitri 1433 H


اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

Tuan dan Puan.....

DI TENUN DIUKIR DENGAN CEKAP
DI BENTUK PULA PELBAGAI GAYA
PUASA SEBULAN SUDAHLAH LENGKAP
KINI KITA MENYAMBUT RAYA

UKIRAN KAYU CANTIK SENINYA
DISUSUN CANTIK DIATAS PARA
SUASANA RIANG DI HARI RAYA
BERMAAFAN MAAFAN RIANG GEMBIRA

IBU RIUH KE HULU KE HILIR
SEDIAKAN JUADAH PELENGKAP HIDANGAN
PAGI SYAWAL BERGEMA TAKBIR
TANDA KEMENANGAN PUASA SEBULAN

SEBULAN GENAP KITA BERPUASA
SEMOGA DIGOLONGKAN PADA YANG BERJAYA
DI PERINTAH SUDAH OLEH YANG BERKUASA
SESUDAH BERPUASA KITA BERAYA

DAUN DI ANYAM MAKIN TERSIMPUL
GULAI DI DAPUR TERLEBIH SANTAN
SANAK SAUDARA RIUH BERKUMPUL
SAMBUT LEBARAN PENUH KESYUKURAN

KRAF KAYU KELUARAN PAHANG
UKIRAN CANTIK DI PANDANG MATA
KAMI SEMUA WARGA KRAF PAHANG
BERMAAF MAAFAN SESAMA KITA

SALAM AIDILFITRI BUAT ANDA SEKELUARGA MOHON MAAF ATAS SEGALA SALAH DAN SILAP...
DARIPADA KAMI WARGA KRAF CAWANGAN PAHANG


Tuesday, August 14, 2012

Jom Kenali Inkubator : Seni Cempaka Kraf


Assalamualaikum WBT

Seni Cempaka Kraf adalah satu lagi syarikat yang menyertai Skim Inkubator Kraf di PKKM Pahang ( Temerloh ). Tidak seperti dua syarikat yang penulis ceritakan sebelum ini, pemilik syarikat Seni Cempaka Kraf merupakan seorang graduan Institut Kraf Negara ( IKN ) dalam bidang Diploma Seni Kraf Kayu.

Untuk pengetahuan semua Institut Kraf Negara merupakan satu Institusi Pengajian yang khusus untuk melahirkan pelajar yang berkemahiran dengan berkelulusan sijil atau diploma dalam bidang kraf seperti hasil rimba, kayu, tekstil, logam dan seramik.

Beliau yang saya maksudkan ialah En Mohd Rashidi Abu Halepah yang merupakan pemilik syarikat Seni Cempaka Kraf. Setelah tamat pengajian beliau di IKN, beliau telah bekerja dengan usahawan kayu di Temerloh selama beberapa tahun. Berbekalkan pengalaman beberapa tahun itulah beliau memberanikan diri untuk menubuhkan syarikat Seni Cempaka Kraf dan bergerak sendiri.

Alhamdulillah usaha beliau tidak sia-sia kerana produk-produk yang dihasilkan syarikat beliau seperti panel ukiran hiasan rumah, perabot solid, dulang hantaran, frame berukir, barangan cenderamata dan congkak berukir mendapat sambutan yang menggalakan dari pelanggan terutama semasa beliau menyertai promosi yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia.

Pemuda yang berasal dari Chini ini baru sahaja berumur 25 tahun dan penulis merasakan beliau mempunyai masa depan yang cerah dan sungguh luas dalam bidang ini jika beliau terus berusaha dan komited dengan apa yang beliau usahakan ini.

Bagi yang berminat untuk membeli dan menempah produk yang beliau hasilkan sila hubungi beliau di talian :

013-9123204

Bengkel Inkubator,
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Pahang ( Temerloh )
Lot 11 Kawasan Perindustrian Songsang
28000 Temerloh
Pahang

En Rashidi Abu Halepah


Sedang menyiapkan projek panel ukiran untuk pejabat KPKK Putrajaya




Monday, August 13, 2012

Jom Kenali Inkubator : Barokah Mumtaz Kraf

Assalamualaikum WBT

Seperti juga Baharim Lepa Kraf , Syarikat Barokah Mumtaz Kraf ini juga telah ditubuhkan dan menyertai skim inkubator di Kraftangan Malaysia Pahang ( Temerloh ) bermula pada tahun 2008. Syarikat ini ditubuhkan oleh anak muda yang begitu bersemangat bagi memajukan industri kraf kayu supaya ianya tidak hilang di telan zaman.

Insan yang saya maksudkan adalah En Mohd Faizan Bin Abu Bakar. Beliau telah dilahirkan pada 5 Mei 1988 dan berasal dari Kuantan, Pahang dan masih belum berkahwin.

Mendapatkan latihan dalam bidang ukiran kayu melalui Latihan Jangka Pendek yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 2007. Berdasarkan ilmu dan pengalaman yang ada beliau mengambil keputusan untuk menyertai skim inkubator bagi mengembangkan sayap beliau dalam bidang ini.

Syarikat Barokah Mumtaz mengeluarkan dan mengambil tempahan untuk produk seperti panel ukiran, frame hiasan berukir, perabot solid, dulang hantaran, pagar musang, congkak tradisional, produk kayu larik dan frame cermin berukir.

Beliau sekarang sedang menyiapkan beberapa produk cenderamata, frame cermin, frame jam dan juga congkak yang telah ditempah oleh pelanggan.

Bagi sesiapa yang berminat dengan produk yang dihasilkan oleh beliau boleh la hubungi :

017-9736183
0105796645

Bengkel Inkubator,
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Pahang ( Temerloh )
Lot 11 Kawasan Perindustrian Songsang
28000 Temerloh
Pahang

En Faizan bersama beberapa produk larik beliau

Sedang menyiapkan projek / tempahan pelanggan







Friday, August 10, 2012

Jom Kenali Inkubator : Baharim Lepa Kraf

Assalamualaikum WBT

Berbekalkan beberapa tahun pengalaman dalam bidang kraf kayu dan penyertaan dalam Latihan Jangka Pendek Ukiran Kayu anjuran Kraftangan Malaysia sebelum ini memberikan inspirasi kepada En Mohd Rafi untuk menubuhkan satu syarikat yang diberi nama Baharim Lepa Kraf.

Mula mendaftarkan diri sebagai peserta inkubator kraf di Sub Cawangan Pahang ( Temerloh ) pada tahun 2008, Syarikat Baharim Lepa Kraf mempunyai pencapaian yang agak membanggakan sehingga ke hari ini. Sentiasa menyertai promosi yang dianjurkan oleh pihak Kraftangan menunjukkan betapa tinggi nya komitmen beliau untuk memajukan syarikat seterusnya bersaing dengan pengusaha kraf yang lain.

Pemuda yang berasal dari Semporna, Sabah ini berkemahiran dalam mengeluarkan produk-produk kraf kayu seperti congkak tradisional, rehal berukir, perabot solid, hiasan dalaman rumah, panel ukiran, dulang hantaran, bekas telur, penggantung kunci, frame gambar berukir dan beberapa barangan cenderamata.

Berumur 36 tahun dan telah pun mendirikan rumah tangga dengan Puan Naurana yang juga membantu beliau dalam mengusahakan perniagaan kraf ini. Semasa lawatan penulis ke bengkel beliau, beliau sedang sibuk menyiapkan beberapa projek tempahan seperti perabot kerusi, panel ukiran untuk mimbar masjid, dulang hantaran dan bekas telur.

Pelanggan-pelanggan beliau bukan sahaja dari kalangan orang tempatan sekitar Temerloh tetapi pelanggan daru luar Pahang juga berminat dengan hasil kerja beliau.

Bagi sesiapa yang berminat untuk membeli atau menempah barangan yang dihasilkan oleh Syarikat Baharim Lepa Kraf sila menghubungi sendiri En Mohd Rafi di talian 012- 863 8161 untuk maklumat lanjut atau datang sendiri ke bengkel beliau di :

Bengkel Inkubator,
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Pahang ( Temerloh )
Lot 11 Kawasan Perindustrian Songsang
28000 Temerloh
Pahang

012- 863 8161

En Rafi sedang dalam proses menyiapkan tempahan dari pelanggan

En Rafi & Isteri yang merupakan pendorong nombor satu beliau





Thursday, August 9, 2012

Latihan Jangka Pendek Tenun Pahang

Salam 1Malaysia,

Pada 2 Julai 2012 yang lalu, Unit Pembangunan Usahawan PKKM Pahang telah menjalankan Latihan Jangka Pendek (LJP) Tenun Pahang bertempat di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja, Pulau Keladi ,Pekan Pahang. Tempoh latihan ini adalah selama enam bulan.
Tujuan latihan ini adalah untuk menyediakan tenaga kerja didalam industri seni kraf tenun pahang diraja. Disamping itu juga pelatih akan diberi kefahaman mengenai perkembangan seni tenun serta dapat menghasilkan produk tenun pahang diraja.
Peserta adalah terdiri daripada anak-anak tempatan yang berasal dari Chini, Kampung Medang, Kampung peramu sekitar daerah Pekan. Tenaga pengajar IKTPD yang membimbing pelatih-pelatih LJP ini adalah Cik Fazirahani dan Puan Fadlina.
Majlis pembukaan Latihan Jangka Pendek ini telah disempurnakan oleh YH Dato'Hj Mohd Zubair bin Mohd Zain dan juga dihadiri oleh En.Faizul selaku Ketua Unit Pembangunan Usahawan PKKM Cawangan Pahang.


Penyerahan Mesin Scroll Saw Untuk Peserta Inkubator

Assalamualaikum WBT

Pada 14 Jun 2012 yang lepas Sub Cawangan Pahang telah menerima 8 unit mesin Scroll Saw untuk di tempatkan di bengkel Gunasama dan di setiap premis peserta inkubator. Sesi penyerahan kepada usahawan inkubator ini telah disempurnakan sendiri oleh YH Dato' Hj Mohd Zubair Mohd Zain, Pengarah PKKM cawangan Pahang.

Majlis ringkas ini turut disaksikan oleh En Norizwan Mat Nor, Timbalan Pengarah PKKM Pahang, En Norhairul Nizam, Ketua Unit Pengeluaran, dan En Mohd Faizul, Ketua unit bahagian usahawan PKKM Pahang.

4 Peserta inkubator yang menerima mesin scroll saw untuk ditempatkan di bengkel mereka adalah dari Syarikat Baharim Lepa Kraf, Syarikat Z&Z Kayu Kraf, Syarikat Barokah Mumtaz Kraf dan Syarikat Seni Chempaka Kraf.

Pengurusan PKKM Pahang khasnya dan pengurusan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia amnya berharap produktiviti usahawan kraf kayu Pahang terutama peserta inkubator yang terlibat akan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa dengan prasarana yang Kraftangan Malaysia sediakan ini.

En Rashidi ( Seni Chempaka ) & En Faizan ( Barokah Mumtaz ) menerima mesin untuk bengkel masing-masing daripada YH Dato' Hj Mohd Zubair

En Rafi ( Baharim Lepa ) & Pn Zanita ( Z & Z) menerima mesin untuk bengkel masing-masing daripada YH Dato' Hj Mohd Zubair