Friday, May 26, 2017

Selamat Menyambut Ramadan 1438H



Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan 1438H. Selamat berpuasa 1 Ramadan 1438H bersamaan dengan 27 Mei 2017.

KEWAJIPAN BERPUASA

Firman Allah ( Ayat Al-Baqarah ayat 183 dan 185 )

"Wahai orang-orang beriman!! Kamu diwajibkan berpuasa sebagimana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa".

Bagi orang-orang Islam yang beriman, bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan ketibaannya oleh setiap ummat Islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberi begitu banyak manfaat dan keistimewaan, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang tahu dan menghayatinya.

KEUTAMAAN RAMADHAN

Terdapat puluhan hadis Rasulullah saw yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan pusa di bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat ummat Islam di akhirat kelak, malah ianya memberi faedah yang besar untuk kesihatan tubuh badan manusia di dunia ini.

ANTARA FADHILAT DAN KELEBIHAN BERPUASA DI BULAN RAMADHAN.

1. Pintu langit dibuka

2. Pintu-pintu syurga di buka


FADHILAT YANG LAIN

1. Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga

2. Orang yang berpuasa dimakbulkan permintaanya oleh Allah SWT

3. Orang yang berpuasa mendapat 2 kegembiraan iaitu semasa berbuka dan apabila bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak

4. Orang yang berpuasa mendapat peliharaan Allah Swt

5. Orang yang berpuasa dengan sempurna dijanjikan mahligai yang indah di syurga

6. Setiap kali sujud orang yang berpuasa, dikurniakan 1700 kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan 70,000 malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.

AMAL IBADAH DI BULAN RAMADHAN

Dalam khutbah terakhir bulan Sya'ban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, Rasulullah saw telah memberi nasihat kepada ummat Islam supaya menyempurnakan amal ibadah sepanjang bulan ramadhan, antaranya ialah:
  • Solat sunat Tarawih
  • Solat-solat sunat yang lain
  • Bantu membantu sesama umat islam seperti bersedekah dan seumpamanya
  • Memberikan hidangan berbuka puasa
  • Banyakkan membaca tahlil
  • Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah swt
  • Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka
  • Banyakkan bersabar, kerana bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
  • Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita.
Oleh itu marilah sama-sama kita berpuasa dengan seikhlas-ikhlasnya. Jangan kita hanya berpuasa, kerana ikut orang lain berpuasa atau kerana bapa kita puasa, maka kita juga kena puasa. Hayatilah kelebihan-kelebihan berpuasa, agar kita sempurna di dunia dan di akhirat.

Wednesday, May 24, 2017

Jom Ke Warna-Warni Aidilfitri 2017



Kraftangan Malaysia akan mengadakan Warna-Warni Aidilfitri bermula 1 - 12 Jun 2017 dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Promosi ini diadakan bertujuan mengetengahkan produk-produk kraf Malaysia dalam persiapan sambutan Aidilfitri. Bagi memeriahkan promosi kali ini, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk para pengunjung antaranya Jualan Kraf, Pameran Dan Jualan Produk Kraf Rekaan Baru, Demonstrasi Kraf, Aroma Aidilfitri, Gema Aidilfitri & Bazar Ramadan (29 Mei - 12 Jun 2017). Selain itu, aktiviti istimewa yang turut diketengahkan pada kali ini ialah Pertandingan Riuh Rentap Raya, Pertandingan Reka Cipta Raya, Spontan Raya, Pertandingan Dari Rumi Ke Jawi & Pertandingan Video Kreatif.

Tuesday, May 16, 2017

Tahniah Yang Berbahagia Dato' Hajah Zuraida Mokhtar


Seluruh warga kerja Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada Yang Berbahagia Dato’ Hajah Zuraida Binti Mokhtar, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di atas pengurniaan Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran Dato’ sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada 15 Mei 2017.


Semoga segala usaha Yang Berbahagia Dato’ sumbangkan dalam industri kraf negara terutamanya di Negeri Pahang  akan sentiasa beroleh kecemerlangan dan diberkati oleh Allah SWT.

Monday, May 15, 2017

Lawatan Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2017 ke IKTPD, Pekan

Pada 9 Mei 2017 yang lalu Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam (IKTPD), Pekan telah menerima lawatan dari Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Pandu Puteri Malaysia 2017. Lawatan ke IKTPD Pekan ini merupakan salah satu acara Pandu Puteri Malaysia sempena dengan Persidangan Pesuruhjaya dan Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan 2017 kali ke 4 yang diadakan di Gambang Resort City, Kuantan.
 KDYTM Tengku Puan Pahang sedang menunjukkan kepada DYTM Raja Puan Besar Perak rekaan-rekan Tenun Pahang Diraja milik adiguru Tenun Pahang Diraja Puan Nortipah

Lawatan ini diketuai oleh KDYTM Tengku Puan Pahang dan turut mencemar duli bersama-sama menyertai lawatan ini adalah DYTM Raja Puan Besar Perak serta DYAM Raja Puan Muda Perak. Pelbagai acara telah diadakan sempena dengan lawatan ini. Antara aktiviti yang telah dijalankan sempena lawatan ini adalah jualan produk kraf dari 15 orang usahawan kraf, demonstrasi pembuatan sumpit, demonstrasi dan interaktif mewarna batik, interaktif kraf tapestri, demonstrasi ukiran arca menggunakan chainsaw dan pertandingan menyumpit.

 Antara peserta lawatan yang mencuba untuk interaktif kraf tapestri

Selain daripada itu terdapat juga demonstrasi masakan seperti keropok lekor dan kuih beko. Peserta-peserta lawatan ini didedahkan bagaimanakah Tenun Pahang Diraja dihasilkan. Para peserta begitu teruja dengan cara pembuatan Tenun Pahang Diraja yang diterangkan sendiri oleh KDYTM Tengku Puan Pahang. Lawatan yang disertai oleh hampir 400 orang ini berakhir lebih kurang 2 jam setelah ianya bermula pada pukul 10.00 pagi.