Wednesday, September 24, 2014

Sekitar Promosi Kraf Malaysia 2014 "Poh Paleh Pahang"


Pada 9-14 September 2014 Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Pahang telah mengadakan Promosi Kraf Malaysia ‘Poh Paleh Pahang’ bertempat di Pusat Membeli-belah East Coast Mall, Kuantan.


Penganjuran Promosi Kraf Malaysia 2014 di East Coast Mall Kuantan kali ini turut diserikan lagi dengan keberangkatan tiba KDYTM Tengku Puan Pahang mencemar duli  bagi merasmikan majlis promosi seterusnya melancarkan Produk Jenama Negeri Pahang “Pahang Pride”.

Hadir sama Dato Seri Wan Haji Abdul Wahid bin Wan Haji Hassan,Ahli Jemaah Pangkuan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Sharkar Bin Haji Shamsuddin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato' Norol Azali Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Yang Hormat Dato’ Mohd Zubair Mohd Zain, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang dan menantu KDYTM Tengku Puan Pahang.



Aktiviti-aktiviti yang diadakan seperti Jualan Kraf oleh 60 usahawan kraf, Peragaan Pakaian Batik Negeri Pahang, Pameran Produk Pahang, Interaktif dan Edu Kraf serta Kaunter Maklumat Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja.



Promosi Kraf Malaysia diadakan dengan tujuan mempromosikan produk kraf tempatan bagi memenuhi pasaran domestik. Malah kunjungan pelancong dari luar negara turut berpeluang melihat keunikan dan keindahan produk kraf tempatan yang dianjurkan di lokasi tumpuan ramai ini. Penganjuran di East Coast Mall ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung sejak diperkenalkan pada tahun 2009 lagi.